Halaman

Cari Blog Ini

Khamis, 2 Mei 2013


           FUNGSI bAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR DI SEKOLAH




PENGENALAN

Kerajaan sentiasa tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan akan memastikan ia menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu. Saya yakin, sistem pendidikan kita mempunyai peranan yang besar dalam memperkasa Bahasa Kebangsaan dan memupuk semangat perpaduan nasional. Melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, rakyat di negara kita bukan sahaja dapat menguasai Bahasa Kebangsaan dengan lebih baik, tetapi juga menghayati nilai-nilai perpaduan dan jatidiri nasional yang ingin diterapkan. Sehubungan itu, kita berharap agar setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum boleh bertutur Bahasa Kebangsaan dengan baik dan betul, serta menghormati penggunaannya di jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan di tempat-tempat awam.
( Sumber : Teks Ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri-Majlis Perasmian Seminar Bahasa Kesusasteraan Dan Kebudayaan Dalam Pendidikan) by Offical: Kementerian Pelajaran Malaysia pada Khamis,28 Jun 2012,1.48pm.

DEFINISI BAHASA PENGANTAR
Diklasifikasikan sebagai bahasa yang telah ditetapkan oleh sesebuah negara sebagai bahasa yang digunakan untuk sistem pendidikannya seperti bahasa Melayu di SK,bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil di SJKT.Bahasa-bahasa di atas telah ditetapkan oleh Laporan Pelajaran Datuk Abdul Razak Hussein(1956) dan Laporan Pelajaran Datuk Abdul Rahman Talib (1960) sebagai bahasa pengantar.

FUNGSI BAHASA PENGANTAR
Kedudukan bahasa Melayu dalam system pendidikan negara mulai meningkat apabila Penyata Razak (1956) dilaksanakan. Penyata Razak juga merupakan asas kepada pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Tegasnya,Penyata Razak berperanan mewujudkan masyarakat yang bersatupadu melalui sistem persekolahan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.Bahasa Melayu juga telah lama menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti.Kemuncaknya,penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
i)                    TIGA FUNGSI BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR DI SEKOLAH

1.      Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
Bahasa Ilmu boleh didefinisikan sebagai bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-cirinya yang tersendiri.Perkara 152 PerlembagaanNegara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu.Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961.Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berfungsi sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia,kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan dan agama.Jelasnya,bahasa Melayu tegap dan standing daripada sudut kesediaan menerima maklumat ataupun sebagai bahasa ilmu dan kedudukannya kukuh terjamin di sisi Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikaan Negara.Kecirian dalam bahasa Melayu itu sendiri melayakkannya sebagai bahasa wahana ilmu keranan kemantapan yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu.
Menurut Nik Safiah Karim(1986:14) yang memetik pendapat Bernstein (1968) membahagikan bahasa kepada dua variasi iaitu bahasa terhad dan bahasa terbina.Untuk tujuan penulisan ilmu, variasi bahasa terbina inilah yang menjadi asasnya.Justeru,untuk menguasai bahasa terbina yang menjadi asas bahasa ilmu, pengguna bahasa Melayu perlu menguasai ragam bahasa dan juga laras bahasa.Abdullah Hassan (1986:95) pula menyatakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu dianggap sebagai superlek yang harus mempunyai ciri-ciri gramatis, halus, jitu, intelektual dan elitis.Abdullah Hassan (1997:38) menyarankan pemisahan antara bahasa Melayu ilmu dan bahasa Melaayu umum diubah.Perubahan dasar Pendidikan Negara iaitu tentang bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik meninggalkan kesan yang buruk ke atas bahasa Melayu.
Dasar tersebut membawa mesej tentang ketidakupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan secara halus meminggirkannya.Pencarian istilah yang baru akan terbantut sekaligus menyebabkan bahasa Melayu ketandusan istilah ilmu. Kita patut berbangga kerana bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaanya dan mampu bersaing maju dalam mencapai bahasa ilmu.Bahasa tidak pernah menjadi batu penghalang kemajuan.

1.      Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Komunikasi

Malaysia mempunyai pelbagai etnik serta menuturkan bahasa-bahasa yang berlainan. Ini menuntut penggunakan satu bahasa pengantar untuk memudahkan komunikasi dua hala tanpa masalah sempadan bahasa.Di sekolah yang mempunyai murid berbilang bangsa, bahasa Melayu dilihat sebagai jambatan penyelesaiannya untuk berkomunikasi.Bahasa yang digunakan antara kaum terutama bagi murid yang tidak menguasai bahasa inggeris adalah bahasa Melayu.Apabila murid Cina, India dan Melayu berkomunikasi sesama mereka di sekolah sudah tentulah bahasa Melayu jika salah seorang murid atau kesemua murid tidak menguasai bahasa inggeris dengan baik.Dalam konteks ini jelaslah bahawa bahasa Melayu berperanan besar sebagai bahasa komunikasi di kalangan murid-murid sekolah.Ini penting dalam menjayakan 1Malaysia yang mahukan rakyatnya hidup serumpun.Situasi ini bermula dari alam persekolahan lagi.Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa komunikasi secara lisan mahupun tulisan.Faktor ini menyumbang kepada pembentukan murid yang cemerlang dan ada jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berbudi bahasa, bersopan-santun serta saling hormat menghormati dengan tidak hanya berkomunikasi bersama satu-satu laum sahaja.Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain.


2.          Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan
Bahasa perpaduan merujuk kepada satu alat yang digunakan bagi menyatupadukan antara kaum dengan kaum yang lain.Perpaduan adalah prasyarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara mencapai status negara maju tahun 2020.Garvin dan Mathiot (1968) telah menyatakan fungsi penyatuan ialah bahasa Melayu yang bertindak sebagai aalat yang menghubungkan penutur-penutur yang menuturkan pelbagai dialek bahasa yang sama.
Di sekolah, konteks bahasa Melayu di lihat sebagai bahasa perpaduan dengan adanya nyanyian patriotik  dan ikrar dalam bahasa Melayu. Mereka bersatu hati melafazkannya dengan penuh semangat kenegaraan.Program RIMUP juga dilihat sebagai satu alternatif membentuk perpaduan di kalangan murid-murid sekolah. Demi mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu. Setiap murid  , guru dan pentadbir sekolah memainkan peranan masing-masing.Ini dimulakan dengan sikap keterbukaan dan penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduaan yang utuh.


i)                    TIGA KEPENTINGAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Semenjak merdeka negara Malaysia memerlukan satu bahasa kebangsaan untuk menjadi dasar identifikasi kebangsaan.Menurut Tunku Abdul Rahman:
“…….adalah wajar bahawa sebagai satu negara membangun kita memerlukan satu bahasa kepunyaan sendiri.Jika bahasa kebangsaan tidak diadakan negara kita akan ketiadaan nyawa…..”   (Wong & Ee, 1971, halaman 78)

1.      BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA RASMI DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN.
Dasar pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 telah dibentuk berlandaskan cadangan-cadangan yang dibuat di dalam Penyata Jawatankuasa 1956 atau Penyata Razak dan Penyata Jawatankuasa Penyemak Dasar Pelajaran 1960 atau Penyata Rahman Talib.Penyata Jawatankuasa 1956 bertujuan untuk membentuk satu peraturan pelajaran yang bertujuan untuk menyatukan semua kanak-kanak daripada pelbagai bangsa menggunapakai peraturan pelajaran yang menggunakan bahasa kebangsaan sabagai bahasa pengantar utama manakala bahasa Inggeris diajar sebagai satu mata pelajaran wajib.Ini diperkukuhkan lagi dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Perkara 17(1) yang menyatakan,”Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan…”
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan mewujudkan sekolah aliran bahasa Inggeris kecuali berlaku perubahan pada Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara. Menurut beliau, akta dan dasar tersebut secara jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan adalah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. (Sumber : Sebahagian ucapan Timbalan Perdana Menteri di Utusan Malaysia,Kuala Lumpur 30 September )
 Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun   2003 merupakan pelanggaran peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 152) dan Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996.Akhirnya PPSMI  dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 secara “soft-landing”

2.      BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR DI SEKOLAH RENDAH, SEKOLAH MENENGAH, MAKTAB PERGURUAN DAN UNIVERSITI.
Laporan Rahman Talib 1960 telah menyetujui beberapa syor dalam Penyata Razak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib di sekolah, jawatankuasa ini menyarankan:
……Bahawa Bahasa Kebangsaan itu hendaklah diajar mulai murid darjah 1 dalam semua sekolah rendah Cina, Tamil dan Inggeris sama ada sekolah bantuan, bantuan separuh atau sekolah-sekolah yang tersendiri.
Perubahan pada nama sekolah juga berlaku. Nama Sekolah Umum ditukar kepada Sekolah Kebangsaan.Sekolah Jenis Umum menjadi Sekolah Jenis Kebangsaan.Sekolah Jenis Kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar demi meninggikan taraf bahasa Melayu.
            Di peringkat sekolah menengah pula,sistem persekolahannya dibahagi kepada tiga peringkat iaitu pelajaran akademik, vokasional dan teknik.Penyata Razak mencadangkan agar bentuk sekolah menengah yang pelbagai aliran itu diteruskan, namun dicadangkan supaya bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris wajib dipelajari oleh semua murid.Akta Pelajaran 1961 telah membahagikan sekolah menengah kepada sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan.Bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar dan bahasa Inggeris wajib dipelajari.

Dalam Penyata Razak, Maktab Perguruan Bahasa telah mendapat perhatian khusus dan bertujuan meninggikan taraf bahasa Melayu.Maktab ini melatih guru-guru yang akan mengajar bahasa kebangsaan dan menjalankan penyelidikan ke atas bahasa-bahasa yang digunakan di Semenanjung Malaysia serta menyelidik cara pengajarannya.
Di peringkat IPTA pula, Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPT menyaksikan beberapa strategi untuk meletakkan bahasa Melayu berada di landasannya yang tersendiri.Antaranya:
a)       mewajibkan semua kursus wajib Universiti dikendalikan dalam bahasa Melayu.
b)       meletakkan sasaran 30% pengajaran pembelajaran dalam bahasa Melayu bagi gugusan sains pada 2020 serta 70% bagi gugusan sains sosial dan kemanusiaan.
c)      Mewajibkan pelajar-pelajar antarabangsa mengambil kursus Bahasa Melayu Komunikasi.
d)     Menterjemah penulisan akademik yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris atau bahasa asing ke dalam bahasa Melayu melalui Unit Terjemahan.
e)      Mengenalpasti Institut Alam dan Tamadun Melayu(ATMA), UKM sebagai fokus point yang bakal mewujudkan hubungan dengan institusi luar negara seperti jabatan pengajian Melayu dalam usaha menentukan strategi bagi memantapkan pengajian bahasa Melayu.

( Sumber : Sebahagian daripada kandungan ucapan YB Dato Seri Mohamed Khalid bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Sempena Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabat Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT pada 27 Oktober 2011 (Khamis), jam 9.00 pagi di Dewan Utama,Kementerian Pengajian Tinggi)






3.      BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA UNTUK  PEMBINAAN NEGARA
Konsep pembinaan negara bangsa bererti pembinaan negara berasaskan semua ras yang ada, dengan bertunjangkan beberapa dasar, antaranya termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan.Dalam kaitannya dengan Dasar Bahasa Kebangsaan itulah relevannya kita berusaha ‘memperkasakan bahasa’ untuk membina negara bangsa dan bahasa tersebut adalah bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Penubuhan Jawatankuasa Razak turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara yang turut memperhitungkan peranan bahasa sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini.
( Sumber : Penulisan Dr.Awang Sariyan K.M.N iaitu Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di Utusan Malaysia,Sabtu 20.Oktober 2012 )


 RUMUSAN
Bahasa Melayu yang dilihat dengan kepelbagaian fungsinya seperti perincian di atas telah terbukti dapat mewujudkan satu bangsa Malaysia dalam merealisasikan 1Malaysia di mana impaknya semua rakyat mampu berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan menjunjung satu rumpun bahasa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara.Di samping itu, usaha memperkembangkan bahasa Melayu dan meningkatkan keupayaannya menjadi bahasa ilmiah bagi semua bidang ilmu perlu diselaraskan dengan perubahan dasar pendidikan dan pelaksanaannya di peringkat Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Pengajian Tinggi. Hakikatnya, usa dan gelombang baru gerakan memperkasakan Bahasa Melayu yang termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) merupakan usaha untuk memperbaiki kekurangan dan memantapkan pelaksanaan perancangan sebelum ini.

             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan